Ada
beberapa panduan yang diajarkan Baginda SAW kepada umat Islam antaranya adalah
seperti berikut: Rasulullah SAW menyuruh umatnya agar membaca Bismillah ketika
hendak makan dan akhirinya dengan membaca Alhamdulillah. Hikmah membaca
Bismillah dan Alhamdulillah bagi seorang Muslim adalah peringatan bahawa
makanan yang hendak dimakan adalah nikmat, rezeki dan anugerah daripada Allah
SWT.
Rasulullah
SAW hanya makan ketika benar-benar lapar dan berhenti sebelum perut berasa
kenyang. Rasulullah SAW mengajar cara untuk makan dan minum iaitu sepertiga isi
perut untuk makanan, sepertiga lain untuk minuman dan sepertiga akhir adalah
untuk udara (nafas). Mengambil makanan dalam kuantiti banyak adalah amalan
buruk kerana ia memberatkan organ dan sistem pencernaan sehingga menjadi lemah
dan tidak mampu mencerna secara teratur.
Cara Rasulullah SAW duduk ketika makan adalah seperti duduk tahiyat awal tetapi lutut kanan dinaikkan. Posisi ini bukan saja dapat memberi keselesaan pada perut, malah dapat menjaga keseimbangan ruang dalam perut agar terbahagi kepada tiga bahagian.
1/3
ruang untuk makanan, 1/3 bahagian untuk udara dan 1/3 lagi untuk air. Di
samping itu, Nabi SAW tidak pernah makan dalam keadaan bersandar, seperti hadis
yang diriwayatkan daripada Abu Juhaifah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya
aku tidak akan makan dalam keadaan bersandar.”
Antara
sunnah Rasulullah SAW adalah makan menggunakan tangan kanan. Rasulullah SAW
bersabda bermaksud:
“Jika
salah seorang antara kalian hendak makan, maka hendaknya makan dengan
menggunakan tangan kanan dan apabila hendak minum maka hendaknya minum juga
dengan tangan kanan.
Sesungguhnya
syaitan itu makan dengan tangan kiri dan juga minum dengan menggunakan tangan
kirinya.” (Hadis riwayat Muslim).
Baginda
SAW memakan makanan dengan tiga jari dan selepas selesai makan, Baginda SAW
menjilat ketiga jari tersebut sebelum membersihkannya.
Hikmahnya,
kandungan enzim yang ada pada tangan atau jari kita tadi akan lebih cepat
bercampur dengan makanan dan seterusnya memudahkan proses pencernaan.
Rasulullah
SAW bersabda,
“Apabila
seorang daripada kamu sudah selesai makan, jangan dibersihkan jarinya sebelum
dia menjilatnya”. (hadis riwayat Muslim)
Perbuatan
membasuh tangan dan berkumur sebelum dan selepas makan adalah amalan sunnah
yang juga bertujuan untuk membersihkan gigi daripada sisa makanan dan bakteria.
Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Berkumur
kalian selepas minum susu kerana di dalamnya mengandung lemak”. (hadis riwayat
Ibnu Majah).
Di
samping itu, Rasulullah SAW gemar makan dalam dulang bersama-sama dengan
sahabat Baginda. Ini secara langsung akan menciptakan kemesraan dan
meningkatkan rasa sayang terhadap sesama kita. Malah, amalan makan satu dulang
ini juga akan dapat mengelakkan pembaziran.
Sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Berkumpullah
kalian dalam menyantap makanan (bersama-sama), kerana dalam makan bersama itu
akan memberikan barakah kepada kalian” (Hadis riwayat Abu Daud)
Imam
Abu Hamid al-Ghazali menyatakan antara etika makan ialah membicarakan hal yang
baik dan menceritakan kisah orang yang salih ketika makan. Menurut al-Hafidz
dan Sheikhul Islam Ibn al-Qayyim ra, menyatakan Nabi SAW bercakap dan berbual
ketika makan.
Dalam
kitabnya al-Zaad,
“Ada
kalanya Nabi SAW bertanya apakah menu pada hari ini dan memuji menu itu.”
(Hadis riwayat Muslim). “Dan ada kala Nabi SAW mengajar adab dan susila makan
kepada kaum keluarganya, ada ketika Nabi SAW sentiasa menggalakkan tetamu
beliau supaya menambah lauk pauk dan minuman.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
Ketika
makan jangan terlalu banyak bercakap (melampau batas) atau bercakap dengan
makanan penuh dalam mulut. Jangan juga bercakap mengenai hal yang boleh
menimbulkan rasa jijik atau loya.
Rasulullah SAW juga ada memberi panduan mengenai cara minum antaranya jangan minum berdiri, jangan meniup air yang panas, jangan minum daripada bekas air yang besar, jangan bernafas ketika sedang minum dan minum seteguk diselang seli dengan bernafas.
Apabila
kita minum daripada bekas yang besar, lumrahnya kita akan meneguk air dan dalam
proses minum itu, kita tentu akan bernafas dan menghembuskan nafas dari hidung
kita.
Apabila
kita hembus, kita akan mengeluarkan CO2 iaitu Karbon Dioksida yang apabila
bercampur dengan air (H20) dan akan menjadi H2CO3 iaitu sama dengan cuka yang
menyebabkan minuman itu menjadi asid.
Justeru,
amalan pemakanan yang dipamerkan Rasulullah SAW seharusnya diikuti dan
dicontohi oleh semua peringkat umur demi kesihatan yang mantap dan kelangsungan
hidup yang bermutu.